Kelemahan dan Kelebihan Dasar Pendidikan Serta Cadangan Ke arah Perpaduan

PENGENALAN 
Elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial ialah sistem pendidikan iaitu melalui sistem persekolahan. Sistem persekolahan merupakan saluran yang penting bagi menyampaikan wadah perjuangan negara dan menyerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan antara kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada 3 kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Walaupun hidup berdekatan, mereka masih berpegang teguh kepada kebudayaan, agama, bangsa, idea dan kaedah sendiri serta terpisah dalam sistem politik yang sama. Sebenarnaya masyarakat majmuk di Malaysia terjadi secara tidak sengaja iaitu sejak sebelum merdeka. Dasar liberal Inggeris pada pertengahan abad ke-19, telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu ekoran penghijrahan masuk secara beramai-ramai kaum cina dan india ke Tanah Melayu. Sejak dari itu, Tanah Melayu telah terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Lantaran kepelbagaian kaum ini, dasar pendidikan negara mewujudkan 5 jenis sistem persekolahan yang terasing di antara satu sama lain. Bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum ini, satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan telah diwujudkan oleh British iaitu Rancangan Cheesmen yang mencadangkan sekolah Inggeris sebagai asas penyatuan sistem persekolahan. 

Usaha mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan diteruskan selepas merdeka antaranya Penyata Razak (1956 ), Laporan Rahman Talib (1960 ), Akta Pelajaran ( 1961 ) dan lain-lain lagi. Walaupun dasar pendidikan ini berubah-ubah namum tujuannya adalah sama iaitu untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan kaum di Malaysia. Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan kesesuaian masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama dan aspek-aspek moral diterapkan kepada masyarakat yang bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, bijak, dan mempunyai sifat patriotik di mana ia penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat. 

SEJARAH PENDIDIKAN NEGARA 
Pada zaman sebelum kemerdekaan Malaysia, penjajah British telah mendominasi pendidikan di negara kita dengan mengatur segala sistem pendidikan mengikut kehendak mereka. Dalam sistem pendidikan itu, rakyat terpaksa mengekalkan taat setia kepada pendatang negara asal mereka dan rakyat tidak dibenarkan untuk membangkitkan semangat pembangunan rakyat tempatan. 

Selain itu, mereka juga telah melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris, di mana sekolah-sekolah aliran Inggeris ini mengajar mata pelajaran dalam bahasa Inggeris. Hal demikian memberi cabaran dan halangan terhadap kaum Melayu ketika itu kerana majoriti masyarakat Melayu tidak mahir untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan baik. Hal ini kerana, penjajah tidak menggalakkan rakyat tempatan terutamanya kaum Melayu untuk mendapat pendidikan yang tinggi. 

Pihak British bimbang jika pelajar-pelajar kaum Melayu mendapat pendidikan yang tinggi, kemungkinan besar kedudukan mereka di Tanah Melayu akan tergugat. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, pihak British telah membuat penyekatan bagi kemasukan pelajar-pelajar melayu ke sekolah-sekolah Inggeris. Akibatnya, kaum Melayu telah ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan kaum yang lain. Pihak British juga telah membuat perubahan yang besar dalam menghalang penyatuan kaum iaitu dengan menubuhkan sekolah vernakular. Sekolah vernakular itu terdiri daripada sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil yang mempunyai kelebihan tersendiri. Atas perubahan itu, pada Ogos 1950, Penyata Barnes telah dibuat yang diketuai oleh L.J.Barnes dan diikuti dengan Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), dan Akta Pelajaran (1961).  

KELEMAHAN DASAR DAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA 
1. Sistem Persekolahan Vernakular 
Telah di jelas dalam penyataan di atas, sistem persekolahan di Malaysia dari sebelum merdeka hingga sekarang telah mempunyai sistem persekolahan yang pelbagai aliran atau lebih dikenali sebagai persekolahan vernukular. Sistem pendidikan di Malaysia kini bergerak seiring dengan perubahan arus permodenan dan globalisasi serta seiring dengan keperluan semasa masyarakat. Namun perubahan itu tidak tertakluk dalam perubahan sistem persekolahan yang masih mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Banyak isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan sistem persekolahan ini. Namun selepas segala perbincangan dan perdebatan yang dibuat keputusan hanya berakhir dengan tiada jalan penyelesaian bagi mengubah sistem itu kepada sistem yang lebih baik. Isu-isu sistem persekolahan merupakan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat persetujuan daripada masyarakat yang mempunyai pandangan dan kepentingan yang berbeza. Pengaruh politik tanah air telah menyekat sebarang keputusan yang telah dibuat sehinggakan keputusan yang dipersetujui tidak dapat dilaksanakan. Seperti yang kita tahu, bahawa pihak kerajaan sentiasa memainkan peranan bagi menaikkan mutu pendidikan kebangsaan, tetapi sejauh mana setiap tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah yang timbul. 

Dari aspek perpaduan kaum, sepatutnya kita harus membuat didikan awal dalam menerapkan aspek perpaduan kaum iaitu melalui pelajar-pelajar dari peringkat rendah lagi. Melalui persekolahan, mereka dapat menjadikan tempat itu sebagai asas permulaan dalam memupuk hubungan yang baik antara kaum yang lain. Ini kerana sekolah merupakan tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk saling mengenal. Mereka juga dapat beramah mesra, bergaul, bersukan, makan bersama, saling mengenal dan mengeratkan hubungan silaturahim. Sebaliknya, nilai-nilai itu tidak dapat diwujudkan dengan adanya sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum dan seterusnya memudarkan sikap itu daripada terjalin. 

Jika kita ingin mengekalkan hubungan antara masyarakat di Malaysia, kerajaan perlu membuat sedikit perubahan terutama dalam sukatan pelajaran sistem persekolahan vernakular ini. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengatakan bahawa beliau sedia menimbangkan sekiranya rakyat Malaysia bersetuju untuk mewujudkan satu dasar baru iaitu Sistem Persekolahan Satu Aliran. Idea menubuhkan sistem persekolahan satu aliran perlu dilaksanakan kerana melaluinya semangat perpaduan di kalangan rakyat dapat dipupuk. Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan dasar baru tersebut dengan mengambil kira kehendak rakyat bagi mengelakkan masalah perbalahan yang mungkin akan timbul sehingga memberi kesan buruk terutama dalam perpaduan kaum. Melalui penubuhan sekolah satu aliran tidak mungkin menjejaskan hak-hak antara kaum, malahan dengan adanya dasar tersebut, masyarakat dapat menyemai semangat perpaduan antara kaum yang kukuh. Namun sehingga sekarang, dasar tersebut masih belum mendapat persetujuan antara masyarakat Malaysia. Masyarakat Cina, India dan semua kaum masih mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka. Bagi mereka, penggunaan bahasa ibunda mereka perlu dijaga dan hak-hak mereka perlu dijamin terutamanya bagi masyarakat Cina dan India. 

Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bilangan murid-murid Melayu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan. Keadaan ini menunjukkan jurang yang begitu luas antara murid-murid Melayu, Cina, dan India. Faktor utama masalah dan wujud jurang pendidikan antara masyarakat ini disebabkan oleh penggunaan bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Contohnya di sekolah kebangsaan, pengunaan bahasa Cina dan Tamil tidak diterapkan, manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa Melayu bukan bahasa utama. Jadi, wujud dua keadaan yang berbeza dan masalah ini masih berlanjutan sehingga kini. Ini menujukkan sistem persekolahan vernakular yang dilaksanakan sekarang mempunyai kekurangan seterusnya menunjukkan kelemahan yang ketara dalam dasar dan falsafah pendidikan negara. 

2. Berorentasikan Peperiksaan Dan Pencapaian Akademik 
Dari segi budaya, kelemahan dalam sistem pendidikan sekarang ialah amat mementingkan peperiksaan sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Bagi ibu bapa, perkara ini amat diambil berat dan mengharapkan anak-anak mereka mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan. Pendidikan yang menumpuan semata-mata dalam pencapaian akademik telah menjadi budaya sehingga sanggup membelakangkan elaman-elaman adab dan sopan. Aspek budi bahasa, sopan santun, adab dan akhlak serta aspek nilai-nilai murni seperti ikhlas, jujur dan amanah semakin hari semakin kurang diberi perhatian. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk mengurangkan peperiksaan dan ujian dalam sistem pendidikan sekarang. Melalui pemantauan, didapati sistem yang terlalu mementingkan peperiksaan dianggap tidak praktikal dan tidak sesuai lagi untuk menguji kemampuan sebenar pelajar, sekali gus membebankan guru dan pelajar sendiri. 

Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan pendidikan di Malaysia ingin mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis. Sejauh manakah kefahaman pelajar kita tentang falsafah ini? Sesungguhnya, fenomena pengangguran di kalangan siswazah sekarang menunjukan bukti kelemahan sistem yang mengutamakan pencapaian akademik sehingga wujud insan yang tidak seimbang. Bagi mereka ilmu yang pelajari adalah semata-mata untuk sekadar lulus dalam peperiksaan sahaja tetapi tidak tahu memanfaatkan ilmu yang mereka perolehi. Jelaslah sistem pendidikan yang ada sekarang, melahirkan pelajar yang hanya tahu menjawab soalan tetapi tidak boleh melahirkan modal insan berfikir. Terlalu ghairah mahu keputusan yang baik, ibu bapa sanggup mengorbankan wang ringgit menghantar anak-anak pergi ke kelas tuisyen sehingga mengabaikan aktiviti-aktiviti riadah dan aktiviti kemasyarakatan untuk anak-anak mereka. Masyarakat pula berpandangan bahawa hanya mereka yang memperoleh pangkat “A” sahaja pelajar yang cemerlang, tetapi pelajar yang gagal dalam peperiksaan dianggap gagal dalam segala-galanya. Hal ini menyebabkan para pelajar tertekan untuk memperoleh keputusan yang baik sehingga hilang keseronokan untuk belajar.  

KELEBIHAN DASAR DAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA  

1. Memupuk Perpaduan 
Pendidikan adalah satu proses utama dalam membentuk kendiri untuk mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan di Malaysia juga adalah satu alat sistem sosial untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional. Dasar Pendidikan Negara yang diwujudkan oleh pihak British mahupun kerajaan sebelum merdeka dan selepas merdeka pada asasnya adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum. Ini merupakan satu kelebihan sistem pendidikan negara dalam memupuk kesepaduan kaum dan etnik. 

Penyata Razak (1956) dan Laporan Abdul Rahman Talib telah menggariskan dengan jelas dasar pendidikan yang berkaitkan dengan perpaduan antara kaum. Mari kita lihat kepada Penyata Razak (perenggan 12), secara ringkas kita dapat simpulkan tujuan dasar pelajaran adalah menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa dengan menggunakan satu peraturan pelajaran meliputi semua bangsa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta. Di sini menjelaskan bahawa perpaduan negara dan nilai perpaduan menjadi teras menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Aspirasi ini telah digariskan dalam penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam sistem pendidikan ini telah memberi kelebihan dan penekanan kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Manakala subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan subjek wajib bagi semua sekolah. Selain itu juga sistem ini turut mengekalkan penggunaan bahasa-bahasa etnik Cina dan Tamil sebagai bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan (SJK). 

2. Integrasi Nasional Dalam KBSR Dan KBSM 
Integrasi Nasional antara kaum merupakan salah satu aspek penting yang perlu diambil perhatian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ) merupakan susulan perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet yang bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Maka segala perubahan dalam kurikulum, cita-cita Falsafah Pendidikan Negara dan pendekatan yang ditekankan kesepaduan dalam kurikulum perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Pelaksanaan kurikulum baru ini adalah satu usaha untuk menangani cabaran perkambangan semasa di mana nilai murni dan kerohanian telah mula diabaikan dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu. 

Kelebihan dasar pendidikan melalui pelaksanaan KBSR dan KBSM dapat kita lihat kepada objektif yang ingin dicapai. Selain penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan membina sikap nilai-nilai kemanusiaan berlandaskan RUKUN NEGARA, murid juga dapat bergaul, menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Semangat kerjasama dan toleransi ini diterapkan dalam aktiviti gerak kerja kokurikulum. Melalui aktiviti kokurikulum KBSR dan KBSM seperti kelab, persatuan serta sukan dan permainan, pelajar berpeluang berinteraksi dengan pelbagai kaum, memahami budaya lain, berdikari dan mendisiplinkan diri, serta mengamalkan sikap toleransi dan kerjasama dalam kumpulan. Penerapan nilai-nilai murni ini amat penting untuk memupuk individu ke arah integrasi nasional. Integrasi nasional dalam KBSR dan KBSM juga dicapai melalui aktiviti ‘Budaya Sekolah’. 

Aktiviti budaya sekolah telah menjadi perkara rutin setiap sekolah hingga masa kini. Ini merangkumi aktiviti seperti menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri, lagu sekolah dan lagu patriotik secara bersama-sama dalam perhimpunan sekolah, bacaan ikrar dalam acara rasmi sekolah seperti sukan dan mengibarkan bendera kebangsaan setiap persekolahan. Jelaslah dan tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti budaya sekolah untuk memupuk semangat patriotisme dan kenegaraan yang dilaksanakan melalui KBSR dan KBSM dapat menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional secara menyeluruh dan bersepadu di kalangan pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. 

CADANGAN MEPERTINGKATKAN KESEFAHAMAN, TOLERANSI DAN PERPADUAN ANTARA KAUM 
Mengikut kepada Penyata Razak (1956) dan Laporan Abdul Rahman Talib (1960) telah menjelaskan bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan kaum. Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum amat penting. Ini dapat membantu menimbulkan perpaduan serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Selain menitikberatkan aspek-aspek pendidikan harmonis, nilai-nilai budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek yang diajar. Maka dengan itu, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum yang sedia ada untuk membentuk keperibadian dan moral para pelajar. Berikut adalah cadangan yang boleh kita teruskan dalam pendidikan sekarang demi mencapai perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat kita. 

Pertama, pengunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar. Seperti yang kita tahu, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara kita. Sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Dalam dasar pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian. Oleh sebab itu, pengajian Bahasa Melayu telah menjadi subjek pengajian yang wajib diambil setiap pelajar. Ini amat bersesuaian dengan kehidupan kita dalam masyarakat yang berbilang kaum. Penggunaan Bahasa Melayu yang meluas juga merupakan cara untuk menyatupadukan hubungan dan mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. 

Pelajar-pelajar merupakan medium yang penting dalam melaksanakan perubahan ini kerana mereka mudah memahami sistem Bahasa Melayu dan bukan sahaja dapat menguasai bahasa tersebut, malah mampu mengungkapkan segala fungsinya dalam bahasa perpaduan rakyat. Maka, secara tidak langsung, dapat memupuk pelajar terhadap kepekaan variasi Bahasa Melayu di dalam pelbagai keadaan yang penting. Pendidikan Bahasa Melayu juga menekankan pelajar-pelajar tentang pentingnya semangat cinta akan tanah air dan juga semangat perpaduan antara rakyat. Jika pendidikan ini diambil berat, masalah perpaduan di negara kita akan berkurangan dengan adanya toleransi dan kesefahaman antara kaum. 

Sebagai contoh, hal ini dapat dibuktikan dengan perpaduan antara masyarakat di negara Jepun. Jepun merupakan sebuah negara yang memartabatkan dan menggunakan hanya satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Jepun. Ini membuatkan perpaduan di negara matahari terbit itu tidak menjadi penghalang kemajuan dan kemakmuran negara mereka. Nyatalah pengunaan satu bahasa akan menyumbang negara kita ke arah negara yang maju mengikut acuan sendiri. Semua itu tidak akan wujud sekiranya para pelajar tidak berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan kaum. Dalam usaha meningkatkan kesefahaman, toleransi dan perpaduan kaum, aktiviti seperti menubuhkan kelab atau persatuan Bahasa Melayu dan mengadakan minggu Bahasa Melayu telah dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti tahunan sekolah. Semua aktiviti ini tidak akan terlaksana jika tiada penglibatan pelajar daripada bangsa dan kaum yang berbeza. 

Dalam konteks sistem persekolahan vernakular, penghapusan sistem ini bukanlah satu cadangan yang baik kerana penghapusan sistem ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum terutama masyarakat Cina dan India. Cukuplah sekali tercetusnya ‘Peristiwa 13 Mei’. Biarlah ia menjadi sejarah negara kita sahaja. Oleh itu, untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendekatan memperkasakan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan India perlu diwujudkan. Manakala untuk menarik bangsa lain bersekolah di sekolah kebangsaan pula ialah dengan menjadikan subjek bahasa ibunda seperti Bahasa Cina, Bahasa India, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban sebagai subjek yang juga diajar di sekolah kebangsaan oleh guru yang bertauliah tentang bahasa tersebut. Oleh yang demikian, jika perubahan ini wujud dan dilaksanakan dalam sistem persekolahan vernakular, semua ibu bapa tidak akan bersusah payah untuk menghantar anak mereka jauh ke bandar semata-mata mencari sekolah mengikut bangsa mereka sahaja. Ini kerana mereka tahu semua sekolah akan mengajar bahasa ibunda mereka tidak kira sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan. Maka, wujudlah perpaduan di kalangan semua pelajar sekolah-sekolah vernakular. 

Kedua, kurikulum bersepadu seperti KBSR dan KBSM masih boleh diteruskan dan diperbaiki lagi kerana terdapat pelaksanaannya yang memupuk perpaduan kaum terutama dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang telah dilaksanakan di sekolah adalah seperti sukan, permainan, kelab dan persatuan. Kini, Kementerian Pelajaran telah merancang program Satu Murid Satu Sukan (1M1S) dan telah mula dilaksanakan pada tahun 2011 antara yang dimasukkan dalam aktiviti kokurikulum. Program ini meminta setiap pelajar memilih satu bidang sukan yang mereka minati seterusnya mempelajari kemahiran bidang itu sehingga mereka berjaya seterusnya terpilih menjadi wakil dari sekolah mereka sehingga di peringkat yang tinggi. 

Selain itu juga, pelajar boleh diberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti di luar akademik terutama dalam aktiviti melibatkan pelbagai kaum seperti program anak angkat, badan beruniform atau Persatuan Belia & Beliawanis. Salah satu contoh aktiviti di luar akademik yang telah dilaksanakan ialah Program perkhemahan Integrasi yang dianjurkan oleh Pusat KoKurikulum tidak kira peringkat negeri ataupun kebangsaan. Program ini telah terbukti dapat memupuk perpaduan kaum bukan saja di kalangan pelajar malah di kalangan guru-guru dan jurulatih program. Program ini memberi kesan yang mendalam kepada pelajar sehingga mengenali apakah ertinya persahabatan dan perpaduan. Situasi inilah yang perlu kita semaikan dalam jiwa pelajar kita demi kesejahteraan, kesetiaan dan keamanan bangsa dan negara. Di samping itu juga, program seperti dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi kurikulum dan kokurikulum. Perlu diingatkan “Kokurikulum adalah pelengkap kepada kurikulum”. Ini bermakna, tidak lengkap seseorang itu jika dia hanya mengutamakan pencapaian akademik sahaja. 

Ketiga, menambah dan memperbanyakkan lagi sekolah di bawah program Sekolah Wawasan. Pelaksanaan program Sekolah Wawasan yang dirancang oleh kementerian Pendidikan bukan bermaksud hendak menghapuskan ciri-ciri sekolah vernakular tetapi sebaliknya ingin mengelakkan prejudis kaum di kalangan golongan muda yang bakal memimpin negara pada masa depan. Walaupun pelaksanaan program ini telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak, namum kerajaan masih meneruskan usaha bagi mencapai matlamat program ini terutama untuk mewujudkan perpaduan dan memupuk semangat integrasi antara pelajar yang berbilang kaum, aliran dan fahaman agama. Antara lain, matlamat program ini juga ingin melahirkan generasi yang bertoleransi dan saling memahami. Di samping itu juga semua warga sekolah digalakkan berinteraksi secara maksimum dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan perkongsian kemudahan yang terdapat di sekolah. 

Demi mencapai matlamat ini, pelaksanaan sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep belajar bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama di satu kawasan atau di bawah satu bumbung yang sama. Maksud konsep belajar bersama ini ialah sebanyak dua atau tiga buah sekolah (SK/SJK/SJKT) yang berlainan aliran dan juga pentadbiran dibina di dalam satu kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berkongsi bersama semua kemudahan-kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan sebagainya. Dengan perkongsian ini, berkemungkinan dapat memupuk semangat persefahaman dan toleransi antara kaum serta nilai-nilai masyarakat majmuk dapat diserapkan di kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi. 

Dalam ucapan umum bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, khasnya dalam menyatupadukan kaum-kaum di Malaysia. Beliau membuat kenyataan seperti berikut: 

[…] membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, maka bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, serta menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan. Membentuk sebuah bangsa Malaysia mestilah dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut (Mahathir Mohamad, 1991). 

Ucapan ini sekali lagi diluahkan beliau dalam ucapan perasmian ‘Wawasan 2020’. Jelaslah bahawa perkongsian bersama-sama dapat menyatupadukan kaum di Malaysia. Maka, program Sekolah Wawasan adalah satu cadangan yang baik untuk ke arah memupuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini. 

Keempat, sistem penyampaian. Kerajaan memainkan peranan utama dalam membentuk lanskap masyarakat Malaysia, terutama dalam membentuk kesefahaman, toleransi dan perpaduan rakyat. Oleh sebab itu, kerajaan perlu menggunakan segala keperluan dan kebebasan dalam menjadi medium penyampaian yang berguna terhadap rakyat terutama dalam menyampaikan maklumat yang penting serta bertepatan dengan keperluan rakyat dalam memupuk perpaduan. Maklumat yang disampaikan mestilah tepat dan berinformasi terhadap rakyat dan tidak mementingkan kepada satu pihak saja. 

Seperti yang kita tahu, sistem penyampaian yang biasa digunakan ialah melalui media-media dan juga agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Penerangan dan Komunikasi. Mereka bertanggungjawab dalam menyampaikan dasar-dasar yang penting bagi rakyat mengetahuinya terutama dalam dasar-dasar yang dapat menyatupadukan masyarakat kita. Penggunaan sepenuhnya peranan media, sama ada media cetak mahupun elektronik, sebagai medium utama dengan menayangkan iklan-iklan bertemakan perpaduan dengan lebih kerap lagi dan ruang papan kenyataan yang mempromosikan keunikan masyarakat Malaysia. Selain daripada itu, melalui sistem penyampaian juga, masyarakat dapat mengetahui dasar-dasar kerajaan terutamanya masyarakat dari luar bandar. 

Dalam menjayakan usaha tersebut, kerajaan telah membuat pelbagai rancangan TV yang mengandungi rancangan-rancangan yang berbeza bahasa mengikut kaum di negara kita. Malah, agensi-agensi bukan kerajaan juga turut menyumbangkan idea-idea mereka dalam memupuk perpaduan antara kaum. Contohnya, mereka telah membuat lagu-lagu yang bertemakan perpaduan kaum serta menganjurkan pelbagai realiti TV yang dapat disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan juga kaum. 

KESIMPULAN 
Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Melalui proses penyatupadukan masyarakat Malaysia, dasar pendidikan yang diwujudkan oleh kerajaan telah menampakkan hasilnya walaupun masih mempunyai kelemahan dalam membentuk satu dasar yang boleh diterima oleh semua kaum. Dasar pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kestabilan dan kemajuan negara kita. Pendidikan merupakan alat membentuk perpaduan kaum yang wajib diambil berat dalam dunia yang kian pesat membangun. Aspek nilai murni amat ditekankan dalam pendidikan dan nilai-nilai ini perlu ada dalam diri setiap rakyat sebagai sebuah masyarakat majmuk. 

Kerajaan sentiasa berusaha mencari pendekatan untuk masyarakat dalam memupuk semangat kesefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kemakmurkan negara kita. Dari sebelum merdeka sehingga hari kini, kerajaan sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk perpaduan masyarakat tanpa memilih kaum, walaupun usaha itu selalu dimanipulasi oleh pihak pembangkang. Sebagai rakyat Malaysia, “Dasar Pandang Ke Timur” yang disarankan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad patut kita renungkan semula. Perpaduan masyarakat Jepun merupakan contoh terbaik untuk kita ikuti. Kemajuan dan kemakmuran negara Jepun lebih dahulu ke hadapan berbanding kita. Kemajuan nagara kita yang dikecapi sekarang ini tidak akan tercapai dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya tiada kerjasama antara kaum. 

Peristiwa 13 Mei 1969, sepatutnya menjadi ikhtibar bagi kita dan menghalang peristiwa tersebut berulang kembali. Pihak kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam memastikan isu-isu dan kelemahan pendidikan dikawal dengan sebaiknya supaya hubungan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni. Sekiranya sistem pendidikan tidak dilaksanakan dengan baik dan telus, maka semua usaha untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional tidak akan berjaya. Tugas ini bukan saja disandarkan kepada individu tertentu, malahan usaha ini haruslah dilakukan oleh seluruh masyarakat negara kita demi kejayaan dan kemakmuran negara yang tercinta dan merealisasikan Wawasan 2020.

9 ulasan:

  1. Boleh tak kalau besarkan font tu? Susah saya nak baca penulisan blog ini.

    BalasPadam
  2. hai. can i have the rujukan for this article

    BalasPadam
  3. artkel yg berrmakna,, tp syg tiada rujukan :(

    BalasPadam
  4. artkel yg berrmakna,, tp syg tiada rujukan :(

    BalasPadam
  5. BOLEH TAK BESARKAN DAN ELOKKAN FONT TU. SAKIT MATA LAH

    BalasPadam
  6. terima kasih berkongsi ilmu dan maklumat tu cuma font terlalu kecil dan whalpaper tidak bersesuaian sakit mata memandang

    BalasPadam
  7. okay dah. tapi sayang, font tu menyukarkan utk baca dan faham serta buat org jd kurang minat. harap ada penambah baikkan

    BalasPadam